KUALA LUMPUR, 25 Nov – Sambutan kerjasama antarabangsa dan pertukaran budaya mencapai kemuncaknya hari ini dengan Taylor’s University sebagai tuan rumah kepada majlis penutupan Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023.

Taylor’s University dalam kenyataan memaklumkan inisiatif global yang berlangsung selama sebulan itu telah menyatukan peserta dalam satu perjalanan merentas sempadan di China serta pelbagai negara ASEAN melalui amalan penyembuhan tradisional.

Dianjurkan oleh Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China, Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 merupakan inisiatif merangkumi aktiviti dalam dan luar talian yang dirancang dan dilaksanakan oleh Persatuan Kecergasan Qigong China-ASEAN.

Majlis yang disokong oleh Persatuan Kesihatan Qigong Malaysia, diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University Prof Madya Dr Anthony Ho Siong Hock, Pengerusi Persatuan Kesihatan Qigong Malaysia Tan Leong Teck dan Pengarah Pejabat Health Qigong Administrative Centre of General Administration of Sport of China, Wang Yi.

Wong berkata majlis hari ini menunjukkan bahawa Qigong boleh dijadikan jambatan untuk hubungan budaya di peringkat serantau selain mewujudkan dunia saling berhubung dan memahami serta memupuk komuniti global yang lebih harmoni.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan acara ini dan Taylor’s University atas komitmen mereka dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa dan kepelbagaian budaya melalui inisiatif unik tersebut,” katanya pada majlis penutup itu.

Dalam pada itu, kem latihan ini mewakili komitmen untuk mempromosikan amalan kesihatan dan pada masa sama memelihara budaya tradisional masyarakat Cina.

Berakar umbi dalam sejarah budaya Cina, amalan tradisional ini telah mendapat pengiktirafan global terhadap pelbagai manfaat fisiologi, menjadikan amalan yang penting untuk menjaga kesihatan diri.

Sementara itu, Prof Dr Anthony berkata pihaknya berbangga menjadi tuan rumah acara berprestij itu kerana ia bukan sahaja melambangkan komitmen untuk memupuk hubungan antarabangsa, tapi juga mengukuhkan kedudukan di persada dunia.

“Kejayaan acara ini dalam menyatukan pelbagai pihak menerusi amalan penyembuhan tradisional juga mencerminkan peranan Taylor’s University sebagai fasilitator dan pendorong kesalinghubungan global dan penghargaan budaya.

“Kami berkomitmen untuk menjadi lebih daripada sekadar institusi pendidikan, malahan berusaha menjadi jambatan kepada dunia sepertimana yang dipamerkan dalam komuniti antarabangsa kita yang majmuk dan bertenaga,” katanya.

Acara berlangsung selama sebulan itu telah memperoleh sokongan padu dan penyertaan aktif di negara-negara ASEAN lantas menunjukkan kepentingan kem berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here