KUALA LUMPUR, 27 Nov – Pelaksanakan subsidi bersasar minyak masak berpeket pada tahun hadapan bukan sahaja melibatkan isi rumah, tetapi turut merangkumi agihan kepada peniaga mikro, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata ketika ini, sistem subsidi barangan keperluan itu bersifat subsidi pukal, yang dilaksanakan di bawah Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan ia terhenti di peringkat peruncit.

Beliau berkata sistem subsidi pukal itu diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan Kerajaan Perpaduan akan menambah baik sistem berkenaan, dengan memperluaskannya ke peringkat pengguna bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Kementerian melihat yang wajar menerima subsidi ini ialah golongan B40 dan sebahagian golongan M40, sebab M40 pun memerlukannya dan dianggarkan 5.8 juta isi rumah yang akan layak menerima subsidi ini nanti, apabila kerajaan melaksanakannya kelak.

“Sebelum ini apabila kita (melaksanakan) subsidi pukal, kita juga tidak menyasarkannya kepada peniaga mikro. Sehubungan itu, pada masa akan datang kementerian akan menyasarkannya terhadap peniaga mikro kerana mereka juga memerlukan subsidi minyak masak ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah menjawab soal tambahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) sama ada kerajaan akan meneruskan kaedah subsidi pukal minyak masak peket bersubsidi dan adakah kerajaan bersedia menggunakan kaedah pindahan tunai kepada pengguna bagi mengelakkan ketirisan agihan subsidi barang keperluan itu.

Beliau berkata cadangan pindahan tunaikepada pengguna bagi pembelian minyak masak peket mungkin menjadi penyelesaian terbaik, namun mekanisma perlaksanaannya memerlukan penelitian lanjut.

Fuziah berkata sebelum ini pemberian subsidi minyak masak peket secara pukal, menyebabkan KPDN sukar mengawal warga asing membeli keperluan itu, selain tiada peraturan yang melarang golongan itu daripada membeli minya masak peket.

Justeru beliau berkata menerusi dasar baharu susbsidi bersasar berdasarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) melibatkan agihan kepada golongan B40, sebahagian M40 dan peniaga mikro, dapat menjamin kuota bekalan minyak masak berpeket sebanyak 60,000 tan metrik sebulan mencukupi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here