KUALA LUMPUR, 2 Dis – Jumlah mangsa banjir  di tiga  pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Bachok dan Pasir Mas di Kelantan menurun kepada 594 orang daripada 181 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 816 mangsa daripada 241 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas merekodkan mangsa banjir paling ramai setakat ini apabila 226 mangsa daripada 77 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

Di Bachok sebanyak 114 mangsa daripada 35 keluarga berada di SK Jelawat manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor menempatkan 254 mangsa daripada 69 keluarga, menurut JKM.

Di JOHOR jumlah mangsa banjir kilat dari lima buah kampung di daerah di Johor Bahru meningkat sedikit kepada 582 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 538 orang pada 12 tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam kenyataan, memaklumkan kesemua mangsa daripada 151 keluarga itu juga masih ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan itu, seramai 312 daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 270 mangsa daripada 67 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.

JPBN turut memaklumkan hujan masih berlaku di daerah Johor Bahru setakat jam 8 malam ini.

Sementara itu, paras air sungai di Parit Keliling di Kampung Pasir, berada pada paras waspada dengan bacaan 0.08 meter (m), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya dekat Kulai, pula mencatat paras bahaya dengan bacaan 17.65m dan Sungai Muar di Kampung Awat pula pada tahap waspada iaitu 8.01m.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here