CHUKAI, 3 Dis – PAS mengekalkan status quo di Kemaman selepas calonnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu.

Menteri Besar Terengganu itu menang dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998  undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, di sini malam ini.

Ahmad Farhan berkata sebanyak 65.76 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Che Alias Hamid daripada PAS menang dengan majoriti 27,179 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said (BN), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).

PRK itu diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 itu.

Sementara itu Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Kemaman dan jentera PAS dan Bersatu yang membantu menjayakan kempen PRK selama dua minggu ini.

Beliau berkata kemenangan dengan majoriti lebih 37,000 adalah melebihi jangkaan awal kalangan pimpinan kedua-dua parti walaupun peratusan keluar mengundi kurang daripada 72 peratus seperti diharapkan.

“Fokus nanti saya masuk Parlimen insya-Allah akan membawa perkara bukan sahaja berkaitan Kemaman tetapi Terengganu sendiri bagaimana sedikit sebanyak kita bantu untuk kesejahteraan Malaysia,” katanya.

Raja Mohamed Affandi dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri dan PAS atas kemenangan, dan berterima kasih kepada 27,778 pengundi Kemaman serta seluruh jentera UMNO, BN dan parti komponen Kerajaan Perpaduan yang memberi sokongan kepadanya.

“Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here