PUTRAJAYA, 4 Dis – Politeknik Ungku Omar akan dinaik taraf kepada politeknik berstatus Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) yang menawarkan program lanjutan dan lebih kompetitif menerusi Transformasi Politeknik 2023-2030.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia antara fokus yang digariskan di dalam pelan transformasi itu di bawah kementeriannya bagi membentuk dan melahirkan bakat terbaik negara.

Beliau berkata menerusi penaiktarafan itu, komposisi peringkat pengajian di Politeknik Ungku Omar akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus dalam program ijazah.

“Kesemua ini disusun ke arah mengembangkan Politeknik Apex ini menjadi sebuah institut teknologi. Kami harap usaha transformasi politeknik ini akan dapat sedikit sebanyak menjelmakan aspirasi terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara kita,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Kerangka Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merumuskan empat matlamat, tiga inisiatif pembaharuan berstrategik, 13 agenda pembaharuan kritikal dan 18 objektif strategik.

Beliau berkata melalui transformasi dirancang, KPT fokus dalam membangunkan ekosistem politeknik untuk menyediakan pendekatan pengajian yang pelbagai termasuk memberi peluang kepada mereka yang sudah bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian di peringkat muda.

Sehubungan itu, katanya, tiga strategi digariskan iaitu Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) terutama oleh Politeknik METrO yang membolehkan individu sudah bekerja mengikuti pengajian tanpa perlu berhenti kerja.

Mohamed Khaled juga berkata penawaran pelbagai program pentauliahan mikro bersifat jangka pendek membolehkan sesiapa sahaja di luar sana menambah kelayakan diri dan penubuhan Pusat Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) A di Politeknik Ungku Omar. 

“Pusat ini akan menyelaras proses menukar pengalaman kerja atau kelayakan semasa anak muda yang tidak mempunyai pendidikan menjadi syarat yang mencukupkan mereka menyertai pengajian tinggi khususnya di politeknik.

“Harapan kita, selepas ini sesiapa sahaja tanpa mengira latar usia dan peringkat pengajian akan berpeluang menyertai program pengajian di politeknik,” katanya.

Bagi melengkapkan kerjasama dan hubungan dengan industri, Mohamed Khaled berkata penubuhan Pusat Pemahiran Semula dan Peningkatan Kemahiran (RUC) di pelbagai politeknik dibuat dalam Transformasi Politeknik 2023-2030.

“Secara asasnya, RUC merupakan satu tawaran pakej atau program latihan yang dilaksana oleh politeknik kepada pihak industri menggunakan pendekatan Penswastaan Sektor Masa (TSP) iaitu suatu perkongsian pintar dan perkongsian sumber bersama pihak industri,” katanya.

Beliau berkata melalui RUC, politeknik akan menyusun dan menawarkan khusus atau skim latihan spesifik yang berupaya meningkatkan kemahiran serta kompetensi pekerja industri terutama dalam aspek yang dilihat ketinggalan susulan revolusi dan anjakan teknologi.

“Sebagai permulaan, sebanyak 16 politeknik telah dikenal pasti dengan sasaran 3,000 pekerja industri secara berperingkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here