PUTRAJAYA, 5 Dis – Inisiatif agropelancongan, peningkatan kemahiran mekanisasi dan automasi serta kerjasama pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi perlu dipergiat bagi memastikan kemampanan sektor itu dalam mendepani ketidaktentuan pasaran dunia tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengambil kira sektor agrikomoditi sebagai tunjang utama ekonomi negara, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia perlu mengekalkan momentum sektor tersebut agar komoditi yang dihasilkan dapat bersaing di persada pasaran dunia.

“Di sinilah peranan pihak lembaga, agensi kita untuk memberi tumpuan bagaimana kita dapat tingkatkan penyelidikan selain menjalin kerjasama dengan pihak industri atau para akademik untuk hasilkan teknologi baharu berasaskan automasi dan mekanisasi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) di sini hari ini.

Memberi contoh mengenai kemahiran automasi dan mekanisasi yang boleh diketengahkan seperti penggunaan dron dan mesin, Fadillah berkata ia juga secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar selain menarik minat belia untuk terlibat dalam industri agrikomoditi. 

“Persaingan semakin tinggi dan kita tidak boleh lagi bergantung kepada tenaga luar seperti Indonesia contohnya kerana mereka juga semakin berkembang dari segi ekonominya.

“Mungkin untuk mendapatkan pekerja yang mahir menjadi satu cabaran untuk kita, sebab itu kita kena mahir kepada teknologi, mekanisasi dan automasi,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bukan sahaja sebagai pengawal selia dan pemudah cara tetapi mempunyai matlamat utama mempermudahkan pihak industri agrikomoditi dalam meningkatkan produktiviti atau hasilan, sekali gus menyumbang kepada sumber pendapatan mereka.

Pihak KPK juga dalam masa yang sama perlu membantu pekebun kecil bagi memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan, katanya.

“Tapi ini hanya akan berjaya kalau kita semua tingkatkan hubungan kerjasama yang erat di antara kita semua kerana kalau pihak kementerian sahaja (berusaha), kita tidak akan dapat melaksana atau mencapai hasrat kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang maju dan makmur dengan mengeluarkan produk-produk yang berhasilan tinggi, bukan saja dari hiliran, tapi huluan juga,” katanya.

Fadillah dalam sidang media selepas sambutan itu berkata sektor agrikomoditi juga boleh dikembangkan kepada agropelancongan dengan para pengusaha boleh mengambil inisiatif mewujudkan elemen pelancongan di kedai atau kebun mereka sebagai tarikan pelancong.

Memberi contoh Lee’s Cocoa Shop di Tanjung Sepat, Selangor, Fadillah berkata selain penanaman koko, pengusaha berkenaan juga membuka peluang kepada ramai pelajar dan penyelidik untuk mempelajari proses tanaman koko dan penghasilan coklat.

Beliau berkata seiring dengan pertumbuhan dalam sektor agrikomoditi, pembangunan industri biojisim terutamanya dalam bidang perladangan dan penternakan juga akan diberi penekanan.

“Kita mahu lihat bagaimana bahan dan sisa yang tidak digunakan itu dapat diproses untuk dijadikan produk makanan haiwan atau baja atau menghasilkan produk hiliran daripada bahan buangan ini,” katanya.

Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan beberapa anugerah kepada penerima terpilih daripada sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf, bertujuan mengiktiraf dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor agrikomoditi di semua peringkat.

Antara penerima anugerah itu ialah Maggie Anak Agam yang menerima Anugerah Pekebun Lada Kecil Terbaik dan penganugerahan Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada Datuk Dr Freezailah Che Yeom.

Sambutan HAKN yang julung kali diadakan itu merupakan satu inisiatif KPK selaras dengan Ekonomi MADANI dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan sektor agrikomoditi agar kekal progresif, mampan, berdaya saing dan inklusif.

Antara aktiviti yang dianjurkan KPK bersempena HAKN ialah Agrikomoditi Walk yang akan diadakan pada 9 Disember dengan sasaran 2,000 peserta berjalan sejauh lima kilometer di sepanjang Laluan Persiaran Perdana di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here