KUALA LUMPUR, 10 Dis – Kerjasama MYEG-Beitou IT Innovation mampu merealisasikan hasrat Malaysia sebagai pemangkin dan pengeksport utama teknologi baharu sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap perkhidmatan digital negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini sejajar dengan visi Malaysia MADANI menerusi Dasar Revolusi Perindustrian Negara dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital, justeru penting bagi negara menyediakan perkhidmatan teras seperti Dokumen Kelayakan Disahkan Digital untuk memacu masa depan negara. 

“Saya percaya bahawa usaha melalui jalinan sebegini mampu mempercepat penggunaan inovasi dan digital bagi perkhidmatan dalam sektor kerajaan mahupun swasta… lebih-lebih lagi apabila kerjasama ini mampu memacu dan mendorong kesan ekonomi rentas sempadan yang dapat dirasai oleh rakyat dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Z-Cert: Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan di atas Blok Rantai Zetrix-Xinghuo di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kerjasama itu bakal memanfaatkan blok rantai Zetrix dan Xinghuo bagi menawarkan perkhidmatan pengeluaran serta pengesahan dokumen kelayakan termasuk identiti digital rentas sempadan.

Beliau berkata teknologi itu merupakan komponen asas dan pemacu untuk pendigitalan perdagangan rentas sempadan, perdagangan dalam talian serta aplikasi terdesentralisasi.

Ahmad Zahid berkata buat masa ini, penggunaan teknologi itu dapat digunakan bagi memeriksa serta mengesahkan lesen memandu dari negara China dan yakin ia akan menjadi pencetus kepada lebih banyak dokumen keselamatan seterusnya melonjakkan potensi kerjasama kedua-dua negara ke hadapan.

Beliau berkata Kabinet bersetuju secara dasar untuk melaksanakan cadangan lesen sedia ada ke bentuk digital yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

“Dengan adanya kerjasama yang dijalankan (antara MYEG-Beitou IT Innovation) memperlihat mungkin mereka boleh menjadi antara pembekal kepada sistem ini (lesen digital)… tentunya kita mahu sesuatu yang lebih baik untuk rakyat Malaysia terutama para pemandu di negara kita. 

“Saya melihat sistem yang disebutkan tadi mempunyai banyak kelebihan terutama dari segi dokumen digital yang diterbitkan atas blok rantai yang tidak boleh dipalsukan dan tentunya pengesahan kepada dokumen tersebut boleh digunakan tanpa keraguan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam visi Malaysia MADANI, kerajaan sepakat untuk merealisasikan impian industri yang berpegang pada inovasi dan digital supaya Malaysia menjadi hab serantau bagi memperluas pengunaan teknologi baharu yang membawa manfaat kepada perusahaan serta memperkasakan rakyat.

Beliau berkata dalam era Ekonomi Digital dan Revolusi Industri yang semakin pesat, Malaysia harus melihat kepada teknologi tinggi yang akan membentuk daya saingan baharu dalam suatu ekonomi yang bukan lagi hanya global tetapi juga sememangnya tanpa sempadan.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata beliau teruja kerana MYEG, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur, menjadi rakan kongsi dalam beberapa inisiatif dengan Beitou IT Innovation, syarikat dari China yang berprestij serta tersenarai dalam China 500.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here