MELAKA, 11 Dis – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka akan menggandakan usaha mengesan penggiat industri gig untuk memastikan 100 peratus golongan itu mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah PERKESO negeri Abd Razak Omar berkata sehingga kini, terdapat 30 peratus daripada kira-kira 5,700 individu daripada sektor penghantaran makanan dan pengangkutan penumpang di Melaka dikenal pasti belum mencarum di bawah skim itu.

“PERKESO juga akan menjalankan penguatkuasaan bersama agensi pengangkutan bagi mewajibkan pekerja gig mendaftar di bawah SKSPS dengan tindakan pengesanan dari semasa ke semasa.

“Kita juga berharap mereka mengambil peluang dengan memanfaatkan pengumuman oleh kerajaan iaitu 80 peratus subsidi untuk mencarum di bawah skim itu supaya kebajikan golongan ini terjaga dan terpelihara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke program Penyampaian Faedah Skuad PERKESO Prihatin kepada waris orang berinsurans iaitu Ong Sai Guan di Rumah Pangsa Jalan Gajah Berang dengan diiringi Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Abd Razak berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengadakan sesi libat urus untuk menggalakkan penjaja serta peniaga di Melaka mencarum dengan SKSPS tahun depan.

Beliau berkata PERKESO komited memastikan golongan itu mencarum bagi membolehkan mereka menerima manfaat jika ditimpa musibah atau perkara tidak diingini sehingga hilang punca pendapatan.

“Sehingga kini, bilangan keseluruhan orang bekerja sendiri di bawah skim SKSPS di Melaka adalah sebanyak 9,768 orang setakat Oktober lepas dengan 141 kes tuntutan kemalangan melibatkan jumlah bayaran RM418,917,” katanya.

Khoo pula berkata pihaknya akan memperhebat kempen kesedaran kepada masyarakat di Parlimen Kota Melaka untuk mencarum di bawah skim itu dan memanfaatkan inisiatif yang disediakan kerajaan bagi membantu golongan bekerja sendiri.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengambil inisiatif mendaftar dan menaja kira-kira 200 individu selain 40 pengedar akhbar di kawasan itu untuk mendaftar di bawah SKSPS.

PERKESO menyampaikan faedah Pencen Penakat berjumlah RM550 dan Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada waris Ong yang meninggal dunia akibat kanser buah pinggang pada 27 Nov lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here