IPOH, 16 Dis – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina parkir bertingkat di Pekan Lama Ipoh di sini, bagi memudahkan pengunjung meletakkan kenderaan masing-masing dengan teratur.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu, dijangka dimulakan dalam masa terdekat bagi menangani masalah parkir, sekali gus menyelesaikan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong terbabit.

“Kita telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakannya dan projek yang menelan kos RM13 juta ini, nanti akan menjadi nilai tambah kepada kawasan parkir sedia ada.

“Mengikut cadangan kita akan bina parkir bertingkat yang mempunyai empat atau lima aras parkir, dengan kapasiti hingga 400 parkir baharu dan ia akan menjadikan kawasan parkir di Pekan Lama Ipoh mempunyai sehingga 800 parkir kelak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan prapelancaran peta Rediscover Ipoh Oldtown, di Jalan Market dekat sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning Jenny Choi Tsi Jen.

Nga menambah, pihaknya mengambil maklum pertambahan pelancong di kawasan itu dan MBI telah menjalankan kajian awal sebelum ini, bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

“MBI akan buat pengumuman kelak dan saya dimaklumkan ia sudah berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan, dari segi rekaan dan seni bina parkir bertingkat terbabit.

Kita mahukan parkir itu haruslah dibuat mengikut suasana dan seni bina ‘pekan lama’ di sini, kerana kita mahu ia turut menjadi nilai tambah kepada pengunjung kelak,” katanya.

Sementara itu, Nga yang juga ADUN Kepayang berkata pengekalan seni warisan sedia ada, akan menjadi fokus utama dalam membangunkan Pekan Lama Ipoh, sebagai antara produk pelancongan warisan negeri ini.

“Pekan Lama Ipoh ini telah digazetkan sebagai kawasan warisan dan seiring dengan langkah berkenaan, kita berpendapat bahawa sebarang pembangunan yang dijalankan mesti mengekalkan warisan sedia ada.

“Tidak sah jika pelancong yang berkunjung ke Ipoh tidak singgah di Pekan Lama Ipoh, kerana warisan bangunan kolonialnya masih terpelihara dan mempunyai banyak cerita sejarah tersendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here