KUALA LUMPUR, 30 Dis – Besraya (M) Sdn Bhd akan melaksanakan penutupan berjadual pusingan U di Kilometer (KM) 15.6 arah utara Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 3 petang hingga 9 malam bermula 2 Jan depan.

Syarikat konsesi lebuh raya itu dalam kenyataannya memaklumkan penutupan berjadual tersebut hanya dilaksanakan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat, bertujuan memberi kemudahan dan kelancaran trafik kepada penduduk setempat di sekitar Salak Selatan.

Semasa penutupan pusingan U itu, trafik akan dilencongkan ke pusingan U di KM B0.8 (berjarak 1 kilometer dari pusingan U asal di KM15.6) bagi melancarkan aliran trafik demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

Menurut kenyataan itu pembangunan yang pesat di sepanjang jajaran Lebuhraya Besraya seperti Kuchai Lama, Pekan Salak Selatan, Bandar Tasik Permaisuri dan Taman Salak Jaya menjadi antara penyumbang kepada pertambahan jumlah trafik di kawasan tersebut.

“Selain itu, isu lalu lintas bersilang di persimpangan tersebut turut menjadi faktor utama bagi pengguna lebuh raya dari arah utara di sekitar Salak Selatan dan Hubungan Timur-Barat menggunakan pusingan U berkenaan yang mengganggu aliran trafik di laluan utama Lebuhraya Besraya.

“Hal ini juga menjurus kepada kesesakan lalu lintas yang teruk pada waktu puncak petang hingga ke Jalan Chan Sow Lin dan Persimpangan Bertingkat Ikan Emas, Lebuhraya Besraya,” menurut kenyataan itu.

Besraya memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pengguna lebuh raya, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian Besline di 1-800-88-0999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here