KUALA LUMPUR, 30 Dis- Kepimpinan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten dalam isu perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Israel.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara Datuk Aiman Athirah Sabu berkata antara tindakan yang diambil oleh Malaysia sebagai menyokong perjuangan rakyat Palestin ialah melarang syarikat perkapalan berpangkalan di Israel ZIM daripada memasuki mana-mana pelabuhan negara dan menyuarakan isu itu di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di San Francisco baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan negara sedang mengatur selia kuasa negara-negara Islam untuk memainkan peranan masing-masing secara keras selain membawa masuk bantuan ke bumi Gaza.

“Tindakan keras mesti diambil dan ditunjukkan kepada Israel serta Amerika Syarikat,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu kepada Bernama pada piket ‘Kepung Demi Palestin’ di ibu negara pada Sabtu.

Deretan khemah dapat dilihat hampir dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, memasuki hari kelima piket solidariti untuk Palestin. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran kebudayaan, bacaan sajak serta ceramah berkaitan isu Israel-Palestin.

Piket enam hari bermula 26 Dis lepas itu adalah inisiatif warga Malaysia yang prihatin dengan krisis di Gaza selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Piket membabitkan 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merangkumi organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum itu dianjurkan sebagai simbolik pengepungan ke atas Gaza selain menuntut agar pembunuhan rakyat Palestin dihentikan di samping mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Sejagat, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia serta Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin.

Seorang peserta M. Mythreyar, 45, berkata ini bukanlah kali pertama beliau menyertai solidariti untuk Palestin.

Katanya walaupun bukan beragama Islam, tetapi atas semangat perikemanusiaan dan tidak sanggup melihat rakyat Palestin terus ditindas, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya.

“(Pada pandangan saya) Apa yang berlaku di Palestin bukanlah peperangan, tetapi ia adalah satu bentuk penghapusan etnik,” katanya yang sanggup datang berkampung di situ dari Tanjung Malim, Perak.

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Okt lepas hingga kini. – BERANAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here