KOTA KINABALU, 18 Jan – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru pemimpin muda perniagaan dan industri untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan membantu dalam merealisasikan agenda pembangunan untuk manfaat negeri dan juga rakyat.

Beliau berkata, pemimpin muda perniagaan dan industri adalah rakan penting bagi kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Sabah dan saya mahu ahli Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah (Sybil) menjadi rakan kami dalam usaha untuk merealisasikan agenda pembangunan kita,” katanya pada majlis libat urus Sybil dengan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata semasa beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri pada September 2020, kerajaan negeri tidak membuang masa untuk terus menyusun semula ekonomi Sabah.

“Kami telah menetapkan sasaran berani untuk membangunkan Sabah dalam tempoh lima tahun mulai 2021 seperti yang dicerminkan dalam rancangan pembangunan Hala Tuju SMJ kami.

“Sehingga kini, kami (kerajaan negeri ketika ini) telah merekodkan lebih RM12 bilion pelaburan dalam 90 projek, yang bakal menjana beribu-ribu peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata hanya pada minggu lepas sahaja, projek keluli hijau bernilai RM20 bilion telah diumumkan.

Fasa satu daripada projek tiga fasa di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang itu akan bermula pada penghujung tahun ini dan dijangka siap pada 2026. Semasa fasa operasinya ia dijangka mewujudkan 2,795 peluang pekerjaan.

“Dasar mesra pelabur kami telah menjadikan Sabah kondusif untuk pelaburan, dan kami menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Sybil, James Wong berkata program hari ini merupakan satu inisiatif untuk membantu SEAC dalam menggubal dasar bagi membangunkan kepimpinan muda dalam sektor ekonomi di negeri ini.

“Kami (Sybil) telah membantu membawakan kira-kira 100 pemimpin muda perniagaan dan industri dari Sandakan, Tawau dan juga Kuala Lumpur untuk datang khusus menyertai acara ini bagi melihat bagaimana profesional industri muda boleh menambah nilai, menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.

Beliau berkata program itu adalah semata-mata berasaskan penyelesaian dan sebagai platform untuk pemimpin muda perniagaan memikirkan cara membina ekonomi yang lebih kukuh dan dinamik untuk Sabah pada masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here