KUALA LUMPUR, 23 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta sokongan rakyat untuk terus bersamanya dalam usaha kerajaan membawa perubahan bagi aspek tatakelola dan mencegah rasuah di negara ini. 

Katanya beliau sangat memerlukan dukungan penuh rakyat untuk memerangi perkara itu kerana beliau sedar bahawa isu berkenaan dibenci oleh beberapa pihak. 

“Saya nak tekankan ada orang mengatakan bahawa kecurian berpuluh bilion ringgit ini, kalau mahu jadi perdana menteri, menteri kewangan, menteri-menteri – ukurannya apa kekayaan (mereka), dan ini dianggap (seolah-olah) biasa. Buat apa jadi perdana menteri kalau tak jadi kaya? 

“Pandangan hambar, haprak ini mesti diperangi dan kita yang bertanggungjawab, ini bukan sahaja (melibatkan) orang politik (tetapi) seluruh sistem. Kita semua harus pikul tanggungjawab termasuk saya.

“Saya harap akan dapat (sokongan), kalau tidak ada sokongan dalam politik atau lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tatakekola dan tuntutan ke arah perubahan, saya pohon dukungan penuh rakyat,” katanya ketika berucap pada pelancaran Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya di sini. 

Anwar berkata berikutan isu rasuah dan tatakelola yang tidak baik, banyak perkara penting diketepikan, termasuk dalam menyalurkan peruntukan lebih besar kepada pendidikan, masalah 8,000 tandas sekolah yang perlu diperbaiki dan puluhan bilion ‘dipunggah’ oleh beberapa tokoh tertentu.

Disebabkan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan kini yang berteraskan konsep MADANI mementingkan pembangunan berasaskan manusiawi dan tidak hanya memikirkan soal ‘gedung raksasa’.

“Sebab itu saya beritahu keutamaan kita sekarang dalam kerajaan MADANI, tidak (perlu) mercu tanda, tidak (perlu) gedung-gedung besar, itu kerja swasta yang lakukan.

“Dana kerajaan (adalah) untuk pembersihan, kemudahan asas, sekolah terbaik, gerai-gerai dan warung yang dimanfaatkan oleh majoriti rakyat yang (mesti) bersih dan indah.

“Itu pendekatan kita, jadi saya tak bersedia untuk bertolak ansur melaksanakan dasar itu untuk kebajikan rakyat terbanyak,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here