GEORGE TOWN, 24 Jan – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini menarik balik larangan menjual minuman beralkohol selama tiga hari bersempena dengan Thaipusam, terhadap 51 daripada 56 premis yang diberikan notis sebelum ini.

Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP dalam kenyataan memaklumkan penarikan balik notis itu dibuat selepas penelitian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye bersama MBPP, mendapati tidak timbul keperluan untuk membuat larangan meliputi keseluruhan laluan perarakan.

Sebaliknya, sekadar mencukupi dengan hanya mengadakan larangan di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama seperti amalan setiap tahun bersempena dengan perayaan Thaipusam.

“Oleh yang demikian, H’ng telah mengarahkan MBPP supaya 51 daripada 56 notis pemberitahuan itu ditarik balik serta-merta dan ia telah pun dibuat pagi tadi.

“Hanya lima notis pemberitahuan untuk premis yang menjual minuman beralkohol di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama akan dikekalkan dan tidak ditarik balik.

“Pada masa yang sama, beliau (H’ng) juga memberi arahan bahawa segala cadangan dan keputusan untuk melarang penjualan minuman beralkohol pada masa akan datang perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk membuat keputusan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu menjelaskan notis pemberitahuan mengenai larangan terbabit dikeluarkan MBPP kepada 56 premis terlibat pada 22 Jan lepas dan sepatutnya berkuat kuasa mulai hari ini hingga 26 Jan (Jumaat) sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat persiapan sambutan Thaipusam dihadiri agensi kerajaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam sambutan perayaan itu.

Bagaimanapun, MBPP menerima aduan daripada pengusaha premis yang menyoal mengenai keperluan melarang penjualan minuman beralkohol di lokasi-lokasi yang terletak jauh dari kuil di Jalan Air Terjun.

Media sebelum ini melaporkan sebilangan pengusaha premis minuman beralkohol di Lebuh Chulia terkejut selepas menerima notis larangan menjual arak selama tiga hari bersempena dengan Thaipusam.

Malah, mereka turut kesal kerana notis diberikan dalam tempoh sangat singkat sehingga menyebabkan kerugian kerana terpaksa membatalkan tempahan pelanggan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here