CYBERJAYA, 22 Feb – Teknologi pengurusan sisa pepejal, sistem pemantauan kamera bagi tapak pelupusan sampah haram dan pengurusan bandar pintar antara teknologi tempatan yang boleh diaplikasikan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata hal ini kerana terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi di peringkat PBT demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“(Justeru), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 20 teknologi tempatan dapat dikomersialkan dan diguna pakai di peringkat PBT menjelang 2025,” katanya selepas sesi perkongsian teknologi bersama syarikat di bawah ekosistem MOSTI dan delegasi PBT Perak di sini hari ini.

Chang berkata sesi perkongsian teknologi sama juga akan diadakan dengan PBT negeri lain agar pihak berkenaan dapat memilih dan mengaplikasikan teknologi yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah setempat.

Di samping menawarkan teknologi tempatan bagi menangani cabaran setempat, katanya usaha itu juga akan membuka peluang kepada syarikat inovasi tempatan untuk mempromosikan dan mengkomersialkan perkhidmatan masing-masing di peringkat agensi kerajaan.

Delegasi berkenaan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching yang mengadakan lawatan ke pejabat Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam mendapatkan pendedahan teknologi untuk kegunaan PBT.

Sementara itu, Ng berkata PBT mempunyai tanggungjawab meluas dan amat kompleks serta perlu diselaraskan dengan keperluan berlainan daripada rakyat.

“… jadi memang menjadi komitmen PBT untuk bagaimana sentiasa berusaha menyelesaikan masalah yang ada dan juga untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“PBT juga banyak terlibat dalam usaha pembangunan infrastruktur, perancangan bandar dan sebagainya. Melalui lawatan hari ini, kita berharap ia membawa perubahan signifikan untuk selesaikan masalah seharian rakyat,” katanya menambah kerjasama MOSTI amat dialu-alukan.

Terdahulu, Chang dan Ng bersama-sama delegasi berkenaan turut dibawa melawat projek tanaman strawberi, Coolgrow di MIGHT yang diusahakan syarikat Wasave Sdn Bhd.

Projek itu merupakan kerjasama antara MIGHT serta Wasave, menandakan pencapaian penting dalam matlamat MIGHT untuk menangani termasuk menyediakan penyelesaian alternatif kepada kecekapan tenaga kontemporari, perubahan iklim, keselamatan makanan dan cabaran bandar pintar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here