KUALA LUMPUR, 22 Feb – Malaysia mencatatkan hampir 10.07 juta langganan perkhidmatan rangkaian 5G atau menyamai kadar penggunaan sebanyak 29.9 peratus setakat 31 Jan, 2024, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai amat signifikan, beliau berkata kadar penggunaan berkenaan melonjak daripada 12.5 peratus setakat November 2023.

“Ini menunjukkan peningkatan yang signifikan (bagi Malaysia). Setakat Januari lepas, kita telah mencapai satu tahap penggunaan 5G yang amat ketara, berdasarkan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya ketika berucap pada acara Pameran Percubaan Maxis 5G-Advanced di sini, hari ini.

Sesi percubaan itu akan turut menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2024 di Barcelona, Sepanyol, pada 26-28 Februari ini.

Selain itu, Fahmi juga mengingatkan supaya semua pengendali rangkaian mudah alih agar lebih peka terhadap keperluan pengguna di masa akan datang.

“Kelajuan (rangkaian) dan teknologi yang lebih ketara ini juga disertai dengan tanggungjawab. Harapan saya adalah agar semua pengendali rangkaian mudah alih ini akan lebih sensitif terhadap keperluan pengguna.

“Kita perlu menyediakan (perkhidmatan) Internet yang pantas, boleh dipercayai serta murah. (Namun pada masa sama), ini perlu seiring dengan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu pada sidang media, Fahmi berkata semua syarikat telekomunikasi di Malaysia akan menyertai MWC 2024 dan kali pertama menyaksikan penglibatan kesemua syarikat berkenaan di bawah satu pavilion.

“Ini dijangka menjadi penyertaan terbesar negara di MWC. Delegasi itu merangkumi semua syarikat telekomunikasi dan beberapa syarikat lain,” katanya.

MWC Barcelona 2024 yang juga perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi, dianjurkan oleh Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) yang dihadiri oleh penggiat industri pelbagai sektor selain wakil  kerajaan dari serata dunia.

Acara itu turut mengetengahkan Program GSMA Peringkat Menteri yang menjadi forum bagi penggubal dasar membincangkan isu-isu semasa dalam industri telekomunikasi.

MWC 2023 telah menarik penyertaan 151 negara dan 45 organisasi antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here