SEREMBAN, 22 Feb – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus meningkatkan kecekapan dan integriti pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Kursus Pemantapan Penyata Kewangan PBT yang diadakan di Bandar Enstek di sini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata kursus disertai 200 ahli PBT seluruh negara anjuran Jabatan Audit Negara (JAN) itu bertujuan memberikan pendedahan tentang ciri-ciri penyata kewangan yang cekap dan teratur kepada peserta.

“Kursus ini amat tepat dengan aspirasi Kerajaan MADANI supaya semua jabatan dan organisasi awam perlu mempunyai tatakelola yang baik, berkesan, cepat, cekap dan telus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti. 

“Ini termasuk pengurusan sumber manusia, pengurusan perakaunan dan kewangan serta sistem pelaporan yang jelas. Perkara itu juga merupakan aspek penilaian utama dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan KPKT sejak 2009,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan kursus berkenaan hari ini.

Kursus julung kali dianjurkan kepada wakil PBT selama tiga hari bermula semalam itu merupakan inisiatif bersama JAN melalui Akademi Audit Negara (ANN).

Dalam pada itu, beliau berkata negara kini berada di tangga ke-27 dalam ekonomi paling berdaya saing di dunia menurut Indeks Daya Saing Global pada tahun lepas yang merupakan hasil usaha gigih kerajaan dan penjawat awam yang menjadi benteng pertahanan terakhir negara. 

Nga berkata menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 pula, Malaysia kini berada di kedudukan 57 berbanding kedudukan 63 pada 2021 sekali gus menunjukkan negara berada di landasan yang betul untuk membina ekonomi negara, selain bukti komitmen kerajaan dalam usaha membanteras amalan rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here