KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kementerian Perpaduan Negara akan mengkaji potensi mewujudkan sebuah badan akreditasi Mediator Komuniti untuk meningkatkan tahap profesionalisme kumpulan tersebut dalam menggalas tanggungjawab sebagai pendamai masyarakat.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya turut akan menggariskan inisiatif memperkukuh peranan Mediator Komuniti melalui pelbagai aspek termasuk peningkatan kelayakan, standard kompetensi, dan pindaan Akta Rukun Tetangga 2012 bagi memasukkan fungsi Mediator Komuniti.

Menurut kenyataan itu, turut menjadi fokus kementerian pada tahun ini ialah penambahan pusat-pusat mediasi komuniti di beberapa negeri.

“Bagi tahun 2024, Kementerian Perpaduan bercadang memperluaskan perkhidmatan mediasi melalui penubuhan pusat di Perlis (Pusat Mediasi Komuniti KRT Pekan Pauh), Putrajaya (Pusat Mediasi Komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya) dan Melaka (Pusat Mediasi Komuniti Daerah Alor Gajah),” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 564 Mediator Komuniti yang terdiri daripada 163 pegawai perpaduan, 379 ahli jawatankuasa (AJK) Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan 22 organisasi bukan kerajaan (NGO) agama di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here