KUALA LUMPUR, 27 Feb – Skim Perubatan MADANI akan diperhalusi untuk memberi tumpuan kepada daerah-daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim itu.

Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), sebuah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata kawasan pelaksanaan hanya akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya dan Klang di Selangor.

Selain itu, skim yang dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun lepas turut tertumpu di Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Menurut kenyataan itu, klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan skim tersebut.

“Inisiatif yang bertujuan mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik KKM di kawasan bandar pada masa ini masih lagi dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan, yang mana kesesakan di fasiliti di bawah fasa perintis itu dilihat bertambah baik,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here