KUALA LUMPUR, 28 Feb – Penerokaan bidang pertumbuhan baharu perlu di segerakan, seiring dengan pemerkasaan sektor-sektor utama, kata Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi berkata eksport elektronik dan komoditi ke pasaran baharu juga perlu dilakukan segera tanpa kebergantungan kepada pasaran sedia ada.

“Kita juga tidak harus terus bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) semata-mata, sebaliknya usaha untuk mempergiat dan memperhebat pelaburan dalam negara perlu menjadi keutamaan.

“Kerajaan juga perlu melihat apakah insentif dan daya tarikan yang boleh di sediakan dalam usaha menarik minat pelabur dalam pasaran ekuiti dan pasaran modal negara,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2023 pada 3.7 peratus di bawah unjuran asal 4.0 peratus, Mohd Shahar berkata ia berkait dengan penyusutan eksport negara, namun impak faktor luaran dapat di tampung oleh permintaan domestik yang kukuh.

Menurutnya, perlu ada jalan keluar untuk memperbaiki situasi tersebut agar imbangan akaun semasa tidak terus menunjukkan trend penurunan.

“Saya berpandangan, ini boleh dipertingkatkan jika prestasi eksport di dominasi dengan penghasilan produk berkualiti tinggi dan pengekalan harga yang kompetitif, didorong galakan inovasi dan produktiviti melalui penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here