KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan sedang meneliti cadangan mekanisme pemusatan penerimaan aduan kelakuan tidak wajar dan pemberian perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata cadangan pindaan dan penambahbaikan akta itu akan membolehkan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat secara eksklusif dan efektif.

“Ia seterusnya mampu mewujudkan suasana neutral, lebih telus dan berkecuali dalam mengendalikan semua aduan pelakuan tidak wajar daripada pemberi maklumat.

“Cadangan pindaan ini melibatkan penubuhan sebuah agensi berpusat yang khusus dengan latihan dan tatacara pengendalian yang khas kepada perlindungan pemberi maklumat serta mampu menyelesaikan kesemua perkara berkaitan Akta 711,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah baik Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk menggalakkan lebih ramai orang melapor kegiatan rasuah.

Menurut Kulasegaran cadangan pemusatan penerimaan aduan itu juga bertujuan memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas bagi agensi berpusat dan agensi penguatkuasaan supaya tidak keliru bidang tugas antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata cadangan itu dijadual dibentang di Parlimen tahun ini sebaik dasar berhubung agensi berpusat selesai dikaji dan dimuktamadkan.

“Ini merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam usaha membanteras penyalahgunaan kuasa rasuah dan pelanggaran integriti dalam masyarakat khususnya dalam organisasi awam dan swasta.

“Cadangan ini diyakini dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat MADANI yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau percaya pindaan Akta 711 membolehkan kerajaan memperkasa urus tadbir yang baik dan meningkatkan keyakinan rakyat dalam usaha membanteras rasuah secara keseluruhan bagi mencapai matlamat tatakelola yang baik dan membanteras rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here