KUALA LUMPUR, 15 Mac – Peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) yang diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan diputuskan berdasarkan permohonan dan keutamaan yang disenaraikan oleh kementerian, dan bukannya daripada pihak negeri.

Kementerian Ekonomi menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata, kerajaan negeri diberi ruang untuk menyenaraikan keutamaan mereka melalui sistem Wishlist Negeri dalam aplikasi MyProjek. 

“Sebelum kementerian mengemukakan permohonan projek kepada Kementerian Ekonomi, semua kementerian telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri. 

“Oleh kerana peruntukan yang dapat disediakan adalah terhad dan pastinya tidak dapat menampung kesemua tuntutan kerajaan negeri, permohonan kerajaan negeri perlu disaring dan dinilai kementerian terlebih dahulu,” katanya.

Kementerian Ekonomi berkata demikian sebagai menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu sama ada kementerian itu bercadang mewajibkan pengesahan ahli Parlimen di peringkat Unit Perancangan Negeri sebelum diangkat sebagai senarai keutamaan ke peringkat pusat untuk pertimbangan kelulusan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang bertanya peratus pencapaian Yayasan Peneraju dalam menguruskan kemahiran dan bakat profesional Bumiputera, Kementerian Ekonomi berkata yayasan memainkan peranan baharu sebagai pusat bakat melahirkan pencipta nilai berkelayakan dan berpotensi.

Lebih 70 ribu peserta telah mendapat faedah melalui program yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju bagi tempoh 12 tahun.

“Daripada jumlah ini, lebih 70 peratus telah menamatkan program dan mendapat pensijilan. Selebihnya iaitu 21 ribu peserta adalah peserta yang masih aktif dalam latihan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here