KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan kekal komited untuk membangunkan industri semikonduktor yang kini merupakan sumber strategik negara, selaras dengan ungkapan “semiconductor is the new oil”.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata persaingan perdagangan dan teknologi antara China dan Amerika Syarikat di dalam industri semikonduktor telah memberi manfaat kepada Malaysia.

Persaingan tersebut, katanya menyebabkan syarikat-syarikat semikonduktor multinasional membuat keputusan strategik untuk membina rantaian bekalan kedua dan tidak lagi tertumpu pada satu negara sahaja sebagai langkah untuk memastikan rantaian bekalan yang selamat dan berdaya tahan (safe and resilient supply chain) ataupun kurang berisiko.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan rancangan kementerian memposisikan industri elektrik dan elektronik (E&E) negara sebagai hab utama pengeluaran semikonduktor bagi mengambil kesempatan daripada persaingan di antara Amerika Syarikat dengan China dalam ‘Perang Cip’.

“Gelombang persaingan di antara China dan Amerika Syarikat harus diambil peluang oleh Malaysia bagi menyediakan dasar untuk mewujudkan suasana kepada syarikat-syarikat tempatan bagi mengungguli dalam industri itu dan menghasilkan pendapatan tinggi,” katanya

Menurut Liew, banyak di antara syarikat-syarikat itu memilih Malaysia sebagai lokasi baharu untuk fasiliti pengeluaran mereka.

Katanya Malaysia mempunyai kelebihan berbanding dengan negara lain kerana mempunyai ekosistem industri semikonduktor yang matang sejak dekad 1970-an, terutamanya kluster E&E di Pulau Pinang dan Kulim.

“Limpahan pelaburan seperti ini dijangka mampu untuk terus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan penting di dunia dalam industri cip global.

“Malaysia perlu mengambil peluang keemasan ini untuk mengembangkan lagi industri semikonduktor negara dan menjadi negara pengeluar semikonduktor bernilai tambah tinggi dengan aktiviti di sepanjang rantaian nilai, seperti reka bentuk IC, fabrikasi wafer, pemasangan dan ujian serta pemasaran teknikal,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan ke Malaysia akan dapat memberi rantaian nilai yang menghasilkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih besar.

“Apa yang kita mahu wujudkan ialah satu rantaian bekalan dan nilai yang merangkumi syarikat-syarikat tempatan. Hasrat kami ialah untuk mewujudkan 100 syarikat teknologi dengan hasil RM1 bilion setiap tahun sebelum 2030.

“Ia bukan mudah kerana setakat ini kita hanya mempunyai sembilan syarikat teknologi tempatan yang boleh menghasilkan RM1 bilion setahun. Sebanyak 10 syarikat lain pula menghasilkan antara RM100 juta hingga RM1 bilion setahun,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here