KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah melakukan  beberapa pembaharuan dalam Human Resources Development Corporation (HRD Corp) untuk memantapkan lagi aspek tatakelola agensi itu, kata Menterinya Steven Sim.

Beliau berkata pembaharuan itu termasuk mengasingkan akaun bayaran levi bagi penggajian pekerja asing daripada akaun-akaun yang lain berikutan levi ialah hak syarikat atau majikan yang mencarum levi tersebut.

“Jadi levi tidak harus digunakan untuk tujuan lain selain untuk memanfaatkan majikan dalam beri latihan kepada pekerja mereka.

“Beberapa jawatankuasa baharu juga ditubuhkan bagi mengukuhkan lagi tatakelola HRD Corp, sebagai contoh jawatankuasa risiko yang akan menganalisa risiko serta jawatankuasa tender untuk melengkapi langkah memudah cara penggunaaan levi oleh majikan dan memperluaskan lagi perkara-perkara yang boleh mengguna pakai levi tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan tentang hasil rombakan terhadap kelima-lima agensi KESUMA baru-baru ini termasuk HRD Corp.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Lim sama ada kerajaan akan menyemak semula dasar tempoh penggajian pekerja asing di negara ini, Sim berkata tempoh penggajian 10 tahun yang boleh dilanjutkan selama tiga tahun ketika ini sudah memadai.

“(Pengambilan) Pekerja asing ini bukanlah sebagai satu penyelesaian jangka masa yang panjang (kepada negara) kerana tempoh 10+tiga tahun ini diberikan untuk membolehkan syarikat tempatan meningkatkan kemahiran (upskill/upscale) lebih ramai pekerja tempatan.

“Jadi seharusnya tempoh ini digunakan untuk memupuk dan membangunkan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Berhubung soalan asal Lim yang bertanyakan status kekurangan pekerja asing dan jumlah yang masih diperlukan negara ketika ini, Sim berkata berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, seramai 2.17 juta pekerja asing didapati berkhidmat dalam pelbagai sektor setakat 15 Mac lepas. 

Justeru mengambil kira jumlah itu, beliau berkata kerajaan masih mengekalkan keputusan membeku kuota pengambilan baharu pekerja asing buat masa ini memandangkan jumlahnya telah menghampiri sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), iaitu sebanyak 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2025.

Selain itu, pembekuan juga dibuat kerana kerajaan masih dalam proses memuktamadkan saringan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) dijangka berakhir Jun ini.

“Berdasarkan dapatan diperoleh daripada agensi kawalan mengikut sektor, anggaran tenaga kerja asing diperlukan ialah 308,000 orang, oleh itu kuota baharu hanya akan dipertimbangkan mengambil kira baki kuota yang masih ada dari unjuran 15 peratus tadi, selepas pengemaskinian jumlah kuota pekerja asing yang aktif dan melihat hasil saringan RTK 2.0,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here