KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan RM219.6 juta untuk menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan sepanjang tahun lepas hingga tahun ini sebagai komitmen mengatasi masalah banjir kilat.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming dipetik dalam kenyataan KPKT berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM59.59 juta disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi projek menaik taraf perparitan dan longkang pada 2023 manakala untuk tahun ini RM20 juta disediakan. 

“Bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan PBT, peruntukan sebanyak RM100 juta disalurkan pada 2023 dan RM50 juta pada tahun ini ” menurut kenyataan KPKT di sini hari ini. 

Menurut kenyataan itu, Nga menyatakan perkara tersebut dalam sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Pengurusan dan Tindak Balas Banjir Berkesan di Bandar anjuran Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur dari 25 hingga 26 Mac lepas. 

Dianjurkan dengan kerjasama pakar terkemuka dari United Kingdom dan Malaysia, perbincangan dua hari itu menghimpunkan pakar dan pihak berkepentingan untuk menangani cabaran mendesak banjir bandar.

Pada perbincangan berkenaan, Nga juga memaklumkan bahawa KPKT menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (PISMA) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 32 kawasan telah menyelesaikan pelaksanaan PISMA dalam perancangan bandar, manakala tujuh kawasan dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan, katanya. 

Nga dalam persidangan itu turut memaklumkan antara faktor kejadian banjir kilat di Malaysia ialah perubahan pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak bersepadu serta sistem saliran yang kapasitinya tidak mencukupi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here