KOTA KINABALU, 18 April – Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran makanan sekali gus memastikan keterjaminan makanan negeri memandangkan Sabah mengimport kira-kira 70 peratus daripada keperluan berasnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kabinet akan mengemukakan syor berkenaan kepada Yang Dipertua Negeri untuk kelulusan penubuhan lembaga itu seperti termaktub dalam Seksyen 3 Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981.

“Sabah perlu meningkatkan sara diri makanannya dan kita akan dapat melakukannya dengan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata kabinet negeri juga bersetuju memberi kebenaran khas kepada pelabur yang beroperasi di taman perindustrian di Sabah untuk menyediakan kemudahan penjanaan kuasa bagi kegunaan sendiri kerana ia penting untuk menarik pelabur dan mengekalkan mereka yang sudah beroperasi yang terjejas akibat isu elektrik.

Hajiji berkata dalam usaha mengurangkan permintaan tenaga di Sabah, Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan rumah kedai, bangunan dan premis kediaman memasang sistem tenaga solar tanpa mendapatkan kelulusan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Menurut beliau, Kabinet juga meluluskan had umur pemohon kepada 30 tahun ke atas bagi program Sabah My Second Home (SBH-MM2H) dan membenarkan peserta program menjual hartanah mereka selepas lima tahun dengan syarat mereka mesti membeli rumah baharu bernilai tidak kurang daripada RM600,000.

“Di bawah dasar baharu itu, pelantikan ejen SBH-MM2H mestilah daripada syarikat tempatan Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here