PUTRAJAYA, 18 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini bagi membincangkan agihan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Mesyuarat yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof itu bermula 5.30 petang. 

Antara yang hadir adalah Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta pimpinan tertinggi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media hari ini mengesahkan satu mesyuarat akan berlangsung petang ini bagi membincangkan mengenai agihan peruntukan kepada pembangkang. 

Pada 13 April lepas Fadillah berkata tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

Fadillah berkata hal ini susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.

Selain Hamzah, pertemuan bersama Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut disertai Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here