IPOH, 18 April – Kerajaan Perak sentiasa memantau isu keselamatan khususnya di kawasan berisiko zon batu kapur di negeri ini kerana membabitkan nyawa rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan kerana ia berisiko mengancam nyawa.

“Kita sentiasa berpegang kepada peraturan dan garis panduan sedia ada dan ia menjadi rujukan utama bagi mana-mana agensi di negeri ini. Sebab itulah kita tubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak pada 2022. 

“Kerajaan negeri tidak boleh ambil keputusan secara terburu-buru hanya kerana satu kes sahaja untuk kita membuat dasar, sebaliknya mengambil kira semua aspek dan paling penting adalah faktor keselamatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini hari ini.

Pada 8 April lepas, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor sedang membawa rakannya warga Vietnam melawat tempat pelancongan berkenaan.

Susulan itu, kawasan pelancongan itu ditutup sementara sehingga laporan penuh insiden itu disiapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Berhubung gesaan penduduk Taman Saikat supaya tempat itu ditutup selamanya, Saarani berkata kerajaan negeri akan meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita ambil maklum gesaan dan saranan yang disuarakan penduduk… semua aspek berkaitan kes ini diambil maklum, namun ia bergantung kepada syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa kelak yang telah pun bermesyuarat. 

“Kita juga dimaklumkan hasil siasatan mendapati berlaku ubah suai pada struktur gua termasuk di kaki bukit oleh ‘tangan’ tertentu yang sepatutnya tidak boleh diusik. 

“Macam kes yang berlaku di Qing Xin Ling, pihak pengusaha telah memasang pelindung bagi objek jatuh sebagai langkah keselamatan, namun tahap keselamatan tidak mencukupi,” katanya. 

Menurut Saarani Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan setiap pengusaha mempertingkatkan aspek keselamatan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here