KUALA LUMPUR, 18 April – Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia hari ini sepakat agar kerajaan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu diputuskan hari ini dalam mesyuarat yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya.

Beliau berkata majlis itu memandang serius tindakan sesetengah pihak memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara dan kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

“Mesyuarat sepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini.

“Semua parti Kerajaan Perpaduan Malaysia bersepakat akan terus mempertahankan orientasi dan pendekatan Politik Kesederhanaan sebagai asas kesejahteraan serta keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata melalui pendekatan politik kesederhanaan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberi tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutama bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu di Selangor. 

“Mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi bagi menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan.

“Penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Steven Sim (Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here