KUALA LUMPUR, 20 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan meningkatkan usaha e-dagang rentas sempadan kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama dengan Amazon membabitkan jualan produk peringkat global melalui e-kedai Amazon.

Dalam kenyataan bersama hari ini, MATRADE dan Amazon berkata kerjasama selama setahun itu juga sebagai reaksi terhadap peningkatan permintaan daripada perniagaan Malaysia.

“Kedua-dua pihak akan bekerjasama menawarkan acara jangkauan secara suku tahunan sepanjang 2024 untuk meningkatkan kesedaran mengenai e-dagang rentas sempadan selain membantu pemilik jenama Malaysia memperkenalkan jenama serta produk kepada pelanggan di Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.

Program dikenali sebagai Amazon Global Selling itu turut merangkumi acara luar talian masing-masing di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dengan penganjuran bengkel bagi membimbing dan memperkasa usahawan tempatan.

Ia juga dapat meningkatkan penyertaan dalam talian dengan latihan dan kandungan direka khusus bagi kesesuaian penjual Malaysia.

“Kandungan kursus itu meliputi perjalanan menyeluruh penjual Amazon, termasuk pendaftaran akaun, penyediaan produk, pematuhan, penyenaraian, penghantaran serta pengiklanan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kerjasama itu dapat melengkapkan PKS Malaysia dengan pengetahuan serta sumber dalam usaha mengembangkan kehadiran mereka di e-kedai Amazon.

“Malah, ini juga dapat mengembangkan jenama mereka ke peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang kesemuanya menekankan kepentingan pendigitalan dan e-dagang rentas sempadan sebagai pemangkin asas dalam memacu pertumbuhan dan daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.

Laporan Access Partnership 2023 mengunjurkan nilai eksport e-dagang Malaysia meningkat 14 peratus setahun untuk mencecah kira-kira RM36.2 bilion menjelang 2027, sekali gus menekankan potensi besar bagi perniagaan Malaysia meluaskan jangkauan dan melangkaui sempadan domestik. 

Dalam pada itu, Ketua Jualan Global Amazon bagi Asia Tenggara Anand Palit berkata unjuran positif bagi sektor eksport e-dagang Malaysia, hanya menyerlahkan lagi potensi besar untuk perniagaan di rantau ini.

Beliau berkata, langkah memanfaatkan kepakaran Amazon Global Selling dan sumber-sumber Amazon serta bekerjasama rapat dengan MATRADE, diharap dapat memperkasa PKS Malaysia untuk memanfaatkan peluang e-dagang rentas sempadan, melonjakkan pertumbuhan selain membantu perniagaan tempatan mencapai kejayaan antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here