KOTA BELUD, 20 April – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM30 juta untuk  membangunkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Tamu Darat di sini yang merupakan antara sekolah daif di negeri ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata projek pembangunan semula itu akan dimulakan pada Ogos tahun ini dan dijangka siap pada pertengahan 2026, dengan dilengkapi kemudahan antara lain lapan bilik darjah baharu, pusat sumber serta makmal sains dan komputer.

“Reka bentuk bangunan telah siap dan dalam proses untuk tender. Diharap usaha ini memberikan persekitaran kondusif untuk anak-anak kita di sini belajar dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di beberapa sekolah rendah dan menengah di kawasan Kadamaian di sini antaranya SK Tamu Darat, SK Rangalau, Sekolah Rendah Advent Rangalau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin.

Fadhlina berkata 38 buah sekolah daif di daerah Kota Belud di sini diberikan perhatian sepenuhnya untuk pembinaan semula atau untuk proses penyelenggaraan melibatkan peruntukan RM495.5 juta.

Menurutnya daripada jumlah itu 20 projek telah siap sepenuhnya, 10 dalam pembinaan, manakala lapan lagi dalam peringkat prabina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here