KUALA LUMPUR, 26 April – Forum ASEAN Green Jobs 2024 selama dua hari di sini yang bermula semalam bertujuan membincangkan kaedah menangani permintaan untuk pekerjaan hijau yang semakin meningkat di rantau ini dan menggalakkan peralihan yang adil ke arah masa depan mampan.

Forum anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ini mendapat kerjasama Kerajaan Australia melalui inisiatif Aus4ASEAN Digital Transformation and Future Skills InitiativeThe Asia Foundation dan Sekretariat ASEAN.

Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata ASEAN Green Jobs Forum 2024 menampilkan platform penting untuk kerjasama dan tindakan bagi memperlengkapkan rantau ini dengan kemahiran dan dasar yang diperlukan untuk mengemudi masa depan yang mampan.

“Dengan membincangkan keperluan ekonomi hijau yang semakin berkembang dan memastikan peralihan yang adil untuk semua, inisiatif ini boleh menyumbang dengan ketara kepada kemakmuran jangka panjang ASEAN dan kesejahteraan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Forum ini dirasmikan oleh Khairul Dzaimee bersama Duta Besar Australia ke ASEAN Tiffany McDonald semalam.

Sementara itu McDonald berkata teknologi hijau Australia, pendidikan bertaraf dunia, rantaian bekalan, pembiayaan dan pelaburan boleh terus membantu untuk membuka kunci kepada manfaat ekonomi, alam sekitar dan sosial untuk rantau ini.

“ASEAN dan Australia berkongsi kawasan dan masa depan. Melalui Perkongsian Strategik Komprehensif, kami sudah pun bekerjasama dengan ASEAN untuk menangani masalah perubahan iklim dan menyokong penuh peralihan ASEAN kepada tenaga hijau,” katanya.

Acara itu menghimpunkan pemegang-pemegang kepentingan utama termasuk pegawai-pegawai kerajaan daripada sektor tenaga buruh; persekitaran; pendidikan; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS); belia; dan wakil-wakil daripada organisasi pekerja dan majikan serantau, institusi-institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ahli akademik, sektor swasta, serta organisasi antarabangsa.

Antara tajuk yang dibincangkan adalah TVET dan pembangunan kemahiran, pasaran dan dasar buruh, pertimbangan alam sekitar, penglibatan sektor swasta, PKS dan kerjasama serantau.

Forum itu juga menyumbang kepada pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai Menggalakkan Pekerjaan Hijau untuk Ekuiti dan Pertumbuhan Inklusif, yang berfungsi sebagai panduan bagi Negara-negara Anggota ASEAN dalam usaha mereka untuk mempromosi pekerjaan hijau sambil memastikan kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi inklusif di rantau ini.

Maklumat komprehensif mengenai ASEAN Green Jobs Forum 2024 boleh didapati di https://www.greenjobsforum2024.com/webpage/information/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here