KUALA LUMPUR, 26 April – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) akan terus bekerjasama rapat dalam pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang akan datang, dan bagaimana pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menyediakan kesediaan dan jaminan di bawah EUDR untuk menjadi rakan kongsi rantaian bekalan dan pengawal selia di EU.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memperbaharui usaha mereka bagi memastikan aliran perdagangan positif semasa di antara Malaysia dan EU berterusan tanpa sebarang gangguan.

“Kedua-dua pihak mengharapkan kerjasama baik yang berterusan untuk memastikan kesahan dan kemampanan komoditi-komoditi utama melalui Pasukan Petugas Bersama EUDR yang ditubuhkan pada 2023,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Perbincangan mengenai EUDR dan peranan MSPO telah diadakan di antara Pesuruhjaya EU bagi Alam Sekitar dan Perikanan Virginijus Sinkevičius dan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Seri Johari Abdul Ghani melalui persidangan maya pada 24 April, 2024.

Semasa sesi itu berlangsung, Pesuruhjaya EU memuji usaha Malaysia untuk menurunkan tahap penebangan hutan kepada paras rendah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ia mengiktiraf komitmen Malaysia terhadap pengeluaran komoditi mampan yang diperakui.

EU kekal sebagai pasaran penting untuk komoditi Malaysia yang dihasilkan secara mampan.

Sinkevičius menekankan kesediaan EU untuk terus bekerjasama dengan Malaysia ke arah meningkatkan rantaian bekalan yang bebas daripada penebangan hutan.

“Dalam konteks ini, EU akan menyokong pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan yang dimandatkan selaras dengan keperluan-keperluan EUDR,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Johari menekankan peranan utama skim pensijilan MSPO dalam mengukuhkan usaha bagi memenuhi keperluan EUDR, termasuk keperluan kemampanan global; iaitu kebolehkesanan, bebas penebangan hutan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik.

Menteri itu menegaskan bahawa Malaysia akan kekal teguh dalam komitmennya untuk mencapai sasaran kemampanan dan mematuhi piawaian global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here