KUALA LUMPUR, 27 April – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan mengetuai delegasi kementeriannya, ke Persidangan Menteri-menteri Koperasi Asia Pasifik di Jordan, dari 28 hingga 30 April.

Ewon dalam kenyataan hari ini memaklumkan, persidangan empat tahun sekali itu anjuran International Cooperative Alliance – Asia Pacific (ICA-AP), dengan kerjasama Jordan Cooperative Corporation (JCC) dan Kementerian Pertanian Jordan.

Beliau berkata pada persidangan itu, beliau akan membentangkan kenyataan menteri, selain mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Jordan yang juga merupakan Pengerusi JCC Khaled Al-Huneifat.

“Saya dan Khaled seterusnya akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan JCC,” katanya.

Ewon berkata beliau juga akan mengadakan lawatan kerja ke Beit Sweimeh Cooperative, iaitu sebuah koperasi yang didukung United Nation Children’s Fund (UNICEF), selain perjumpaan bersama diaspora Malaysia di Jordan.

Lawatan itu akan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rusli Jaafar, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Dato Abdullah Jusoh dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Azizul Alias.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here