JOHOR BAHRU, 27 April – Kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu, sebagaimana berita yang tular, baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata berita berkenaan, hanyalah khabar angin yang dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemarkan imej Forest City dan negeri Johor secara keseluruhannya.

Beliau berkata seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kerajaan negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak, dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Selain itu, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancakkan dan mempertingkatkan ekonomi Johor, agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Dari segi sejarah pula, jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Onn Hafiz berkata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor, dan ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini.

Beliau berkata kerajaan negeri Johor tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.

“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama.

“Diharapkan dengan penegasan ini, isu ini tidak lagi dipanjang-panjangkan dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri.

“Selain itu ia diharap dapat menjamin keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here