KUALA LUMPUR, 28 April — Malaysia percaya wujudnya keperluan untuk meneliti semula komitmen ke atas pembangunan mampan, sumber global cekap dan perdagangan yang adil serta seimbang dalam kalangan negara-negara.

Sehubungan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara-negara juga perlu berkongsi nilai yang akan menghasilkan dasar perdagangan yang boleh menyumbang kepada pembangunan saksama serta mampan.

“Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah bukan tarif untuk menyekat aliran perdagangan. 

“Peningkatan peraturan alam sekitar berkaitan perdagangan seperti (amalan) alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh negara maju mempunyai kesan penting dalam perdagangan antarabangsa,” katanya pada sesi mesyuarat pakatan peralihan saksama yang dianjurkan bersempena penganjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.

Tengku Zafrul juga menekankan bahawa langkah peningkatan berkaitan perdagangan juga dilihat berpotensi menjadi mekanisme perlindungan yang secara tidak adil boleh menjejaskan pengeluaran dan perdagangan global, khususnya bagi negara pesat membangun.

“Langkah-langkah boleh berperanan sebagai instrumen sempadan dan pematuhan kepada langkah-langkah ini pastinya menjadi rumit dan mungkin terlalu mahal untuk ditanggung oleh kebanyakan pengeksport negara pesat membangun,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menegaskan bahawa sebarang tindakan membiarkan perkara itu tanpa ditangani, berpotensi menjejaskan daya tahan dan perdagangan serta tarikan pelaburan di negara-negara pesat dan kurang membangun.

Beliau turut memetik laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai barangan dan perkhidmatan alam sekitar yang berdepan purata tarif sebanyak 4.3 peratus selain pelbagai langkah bukan tarif. 

“Kos pematuhan misalnya seperti pensijilan boleh menjadi mahal, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana di negara-negara sedang pesat membangun. 

“Kekangan sedemikian memerlukan pendekatan kerjasama iaitu negara maju tidak hanya mengenakan piawaian berkaitan, tetapi juga harus memudahcara pematuhan melalui sokongan teknikal dan kewangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here