KUALA TERENGGANU, 28 April – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan agar konsep pertanian menegak dibangunkan menerusi pembuktian konsep (POC), supaya dapat menjadi contoh kepada pembangunan dengan menggunakan pendekatan lebih berinovasi.

Baginda bertitah kaedah pertanian itu, dapat mengawal sebarang penyakit secara lebih berkesan dengan pengendalian sisa buangan daripada sisa ternakan dan tanaman, digunakan semula secara komprehensif dalam sektor ekonomi kitaran yang lain.

“Beta telah meneliti berkenaan vertical farming yang merupakan satu kaedah pertanian moden di mana semua aktiviti penanaman, penternakan serta akuakultur dijalankan dalam satu struktur bangunan yang dilengkapi dengan infrastruktur, seperti sebuah ladang yang lengkap.

“Konsep pertanian ini merupakan satu kaedah pertanian masa depan, disebabkan oleh konflik guna tanah pertanian, cabaran kepada perubahan iklim serta keperluan permintaan bekalan makanan yang meningkat, dengan kadar pertumbuhan penduduk dunia,” titah baginda sempena Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, di Istana Syarqiyyah, di sini Ahad.

Sultan Mizan bertitah meskipun keluasan 244,000 hektar tanah pertanian di Terengganu dan separuh daripadanya telah ditanam dengan komoditi seperti kelapa sawit dan getah, namun keperluan kepada pembangunan fizikal bagi memenuhi keperluan penduduk Terengganu, merupakan pertimbangan yang perlu difikirkan bagi memastikan guna tanah bagi sektor agromakanan terus dikekalkan.

“Beta memahami salah satu faktor menarik pelabur untuk melaksanakan projek di negeri ini adalah dengan ketersediaan tanah bersaiz komersial.

“Dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, beta berharap lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor pertanian, yang dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat negeri ini,” titah baginda yang turut menyarankan penggunaan teknologi terkini untuk memanfaatkan tanah dengan lebih berkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here