GEORGE TOWN, 29 April – Perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma disediakan bagi pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Utara yang akan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Abdul Kahar Abdullah berkata perkhidmatan feri percuma itu disediakan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU).

“Dari jeti (PSAH) akan disediakan bas perantara percuma ke Tapak Pesta Pulau Pinang. Bas percuma juga disediakan kepada pengunjung dari tapak parkir di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pusat beli-belah Queensbay Mall.

“Kita tahu tapak pesta ini kawasan yang agak padat, jadi pengunjung digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan awam. Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat persediaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas,” katanya semasa sesi temu bual di radio Mutiara FM hari ini.

Beliau berkata pengangkutan bas percuma itu akan beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam bagi ketiga-tiga hari berkenaan.

Abdul Kahar memaklumkan program yang turut menawarkan 196 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan melalui 32 reruai itu dijangka menarik kehadiran 200,000 hingga 300,000 pengunjung kerana melibatkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Selain itu, beliau berkata penawaran diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman trafik PDRM, lebih 1,582 peluang pekerjaan, cabutan bertuah, 66 jualan keusahawanan tempatan dan Program Jualan MADANI yang menjual barang keperluan seperti beras dan ayam juga disediakan.

Program itu juga katanya, sesuai dan boleh dikunjungi oleh semua golongan kerana pelbagai aktiviti ditawarkan mengikut kesesuaian umur termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata majlis perasmian penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei ini yang diadakan sekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024. 

Program MADANI Rakyat Zon Utara bakal menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengangkutan awam bersepadu.

Turut menjadi tumpuan ialah pertanian dan keterjaminan makanan, karnival kerjaya, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus kepada rakyat.

Ia merupakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here