KUALA LUMPUR, 30 April – Malaysia dan China menyatakan komitmen terhadap kerjasama dalam penyelidikan menerusi Kumpulan Kedua Projek Penyelidikan Bersama China-Malaysia dengan menumpukan beberapa bidang utama antaranya teknologi penyimpanan tenaga dan vaksin manusia.

Selain itu, tumpuan turut meliputi bidang teknologi angkasa, kecerdasan buatan, blok rantai dan teknologi bahan maju.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Ketiga (JCM) Malaysia-China dalam Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang dipengerusikan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Sains dan Teknologi China Yin Hejun.

Mesyuarat berkenaan antara program sempena lawatan kerja Chang ke China dari 24 April hingga semalam.

Penganjuran JCM Ketiga itu berdasarkan kepada kerangka Perjanjian Kerjasama STI yang ditandatangani Malaysia dan China pada 4 Okt 2013, menjadi satu penanda penting dalam hubungan dua hala, bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China. 

Menurut MOSTI perbincangan yang diketengahkan dalam mesyuarat itu merangkumi pelbagai bidang kerjasama, termasuk teknologi mikroelektronik, teknologi bahan maju, pemindahan teknologi dan keusahawanan, pertukaran tenaga pakar serta kerjasama dalam kerangka mekanisme multilateral. 

“Di penghujung JCM Ketiga ini, kedua-dua menteri juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Xiamen, Institut Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) dan Universiti Xiamen Malaysia dalam kerjasama teknologi semikonduktor serta mikroelektronik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam tempoh lawatan kerja berkenaan Chang turut berpeluang meneroka potensi kerjasama bersama industri STI di China termasuk China Electronics Technology Group Corporation (CETC), TCab Technology Co. Ltd. dan Xiaomi.

“Di CETC, Yang Berhormat Menteri telah menyaksikan pemeteraian MoU antara MIMOS Berhad dan CETC, mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi dalam sektor utama seperti advanced packaging, semikonduktor jalur lebar dan reka bentuk sistem.

“Kerjasama ini mempunyai potensi besar dalam menggalakkan kemajuan teknologi, mendorong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing di peringkat global,” menurut MOSTI.

Chang juga berkesempatan menyertai Zhongguancun Forum 2024 dan menyaksikan pertukaran MoU antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Beijing Zhongguancun Science City Innovation Development Co. Ltd. bertujuan menubuhkan Pejabat Pengkomersialan Teknologi Antarabangsa, antara Z-Park dan MRANTI dalam menyokong syarikat permula serta anak syarikat di kedua-dua negara untuk akses pasaran dan pembiayaan.

Beliau turut menghadiri Pameran Auto China 2024 dan menyaksikan pemeteraian MoU antara Gigafactory Malaysia Sdn Bhd (GMSB), BAIC International Development Co. Ltd. dan BAIC Bluepark New Energy Technology Co. Ltd. bertujuan menggalakkan inovasi dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan mempromosikan pengadaptasian EV di rantau ASEAN.

Chang turut melawat China National Space Administration (CNSA) dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala yang berakar dari Perjanjian Kerjasama Angkasa dan Penggunaan Damai Angkasa Lepas yang ditandatangani antara kedua-dua negara untuk mempercepat pertukaran sains dan teknologi bagi tujuan penjelajahan dan pemanfaatan angkasa luar bagi usaha kedamaian. 

“Lawatan kerja dan kerjasama yang terjalin daripada kunjungan ini menjadi satu penanda penting dalam kerjasama antara Malaysia dan China serta terus memupuk inovasi dan mendorong kemajuan untuk kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here