PHNOM PENH, 2 Mei – AirAsia Cambodia mencatat peristiwa penting hari ini apabila memulakan penerbangan domestik sulungnya dari Phnom Penh ke Siem Reap dengan muatan penumpang menghampiri 100 peratus.

AirAsia Cambodia kini mengendalikan penerbangan harian di antara Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville.

Destinasi permulaan ini menunjukkan komitmen AirAsia Cambodia untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menawarkan pilihan perjalanan yang lebih berpatutan dan mudah kepada rakyat Kemboja dan pengembara.

“Pelancaran penerbangan domestik AirAsia Cambodia ini juga tepat pada masanya, bertepatan dengan usaha bersepadu kerajaan (Kemboja) untuk menarik lebih ramai pelancong ke wilayah Siem Reap yang terkenal dengan warisan budaya melalui kempen ‘Visit Siem Reap 2024’ yang dilancarkan baru-baru ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Cambodia Vissoth Nam dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata AirAsia Cambodia terus komited untuk menyokong inisiatif pelancongan kerajaan Kemboja di seluruh negara dengan menawarkan pilihan perjalanan mampu milik untuk semua.

Dengan rekod kejayaan dalam membuka peluang di pasaran yang kurang mendapat perhatian, syarikat penerbangan itu bersedia untuk memacu era baharu dalam industri pelancongan dan ekonomi Kemboja dengan menjadikan pelancongan serantau lebih mudah diakses oleh semua, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Bo Lingam.

“Memanfaatkan kedudukan kukuh kami di Asean, AirAsia Cambodia bersedia untuk menawarkan rangkaian perjalanan ke lebih daripada 130 destinasi di seluruh Asia dan seterusnya,” tambahnya.

AirAsia menghubungkan Kemboja dengan laluan antarabangsa dari hab Kuala Lumpur dan Bangkok dengan 63 penerbangan setiap minggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here