PUTRAJAYA, 7 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Health Sciences Authority (HSA) of Singapore hari ini menandatangani semula memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memudahkan proses pertukaran maklumat regulatori farmaseutikal bagi memperkasakan Amalan Regulatori Baik.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bidang kerjasama yang telah dikenal pasti dan akan diteruskan adalah kawalan regulatori produk farmaseutikal termasuk isu-isu pendaftaran, pascapendaftaran dan penguatkuasaan serta aktiviti kajian klinikal.

Menurut KKM, pemeteraian kerjasama itu juga dilihat akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan kawalan regulatori produk farmaseutikal di Malaysia.

KKM memaklumkan MoU itu pada asalnya ditandatangani pada 28 Mac 2012 telah berkuat kuasa selama lima tahun dan secara automatik dilanjutkan selama lima tahun lagi, sebelum tamat secara rasminya pada 28 Mac 2022.

Majlis penandatanganan semula MoU berlangsung hari ini di HSA, Singapura antara Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A. Halim dan Ketua Pengarah Eksekutif HSA Dr Choong May Ling Mimi.

Pemeteraian berkenaan itu merupakan kesinambungan kerjasama antara Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bersama HSA selaku badan regulatori produk farmaseutikal negara masing-masing. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here