JASIN, 7 Mei – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Yayasan Kebajikan Budimas menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 12 lagi perpustakaan kanak-kanak di perkampungan Orang Asli  di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Anne Rajasaikaran berkata melalui program Budimas Education Charity Fund (BECF) pihaknya telah mengenal pasti jurang yang dihadapi sesetengah kanak-kanak terutamanya yang menetap di pendalaman yang tidak mendapat akses pendidikan sama seperti di bandar.

“Usaha ini bukan sahaja untuk memastikan mereka tidak keciciran tetapi kita mahu mendidik mereka untuk rajin menimba ilmu sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Sudah tentu setiap kampung yang dipilih, juga perlu dipastikan kawasan tersebut mempunyai ramai kanak-kanak supaya perpustakaan itu  dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas program perasmian Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Orang Asli Gapam Baru di sini hari ini 

Terdahulu program itu disempurnakan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas Tunku Datuk Yaacob Khyra.

Mengulas lanjut ,Anne berkata sejak diperkenalkan pada 2015 sehingga kini terdapat 12 perpustakaan kanak-kanak telah dibina di perkampungan Orang Asli iaitu enam di Selangor, Negeri Sembilan (tiga), Pahang (satu) dan Melaka (dua).

Katanya kos keseluruhan pembinaan dan kemudahan perpustakaan itu menelan belanja RM170,000 selain setiap satunya dilengkapi 4,000 buku dan bahan bacaan untuk kanak-kanak serta pelajar sekolah menengah.

“Bagi Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Gapam Baru ini ia dikenal pasti memberi manfaat kepada 50 pelajar berusia lima hingga 15 tahun dan akan beroperasi pada Isnin hingga Sabtu bermula 2 petang hingga 7 malam.

“Perpustakaan ini juga dibina untuk dijadikan tempat mereka berkumpul, belajar dan mengulang kaji pelajaran serta menjalankan aktiviti berkaitan pendidikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here