KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bertemu dengan kerajaan Australia dalam masa terdekat berhubung tindakan negara itu menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa untuk perolehan visa pelajar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Australia bagi mengetahui dasar semasa negara itu.

“Kita ingin tahu sama ada dasar itu melibatkan semua negara ataupun hanya negara tertentu.

“Jadi, langkah pertama yang akan kita lakukan ialah memastikan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dahulu,” katanya selepas merasmikan pelancaran logo baharu Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata untuk konteks visa pelajar pula, isu itu bukan hanya melibatkan KPT, malah turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi, kalau kita nak mengadu keadaan ini, kita mesti bersama-sama dengan KDN untuk mendapatkan maklum balas daripada kerajaan Australia berkaitan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Australia akan menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa bagi mendapatkan visa.

Negara itu juga memberi memberi amaran kepada beberapa institusi pendidikan mengenai amalan penipuan pengambilan pelajar, sebagai sebahagian daripada usaha mengekang penghijrahan.

Mulai esok (10 Mei), pelajar antarabangsa mesti menunjukkan bukti memiliki wang simpanan sekurang-kurangnya A$29,710 (RM97,787) untuk mendapatkan visa, peningkatan kedua dalam tempoh tujuh bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here