KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kedutaan China di Malaysia telah melancarkan sebuah video muzik khas untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Lagu bertajuk ‘Sayang Sayang My Dear Friend’ menampilkan penyanyi Malaysia Ah Niu dan kumpulan muzik yang mempamerkan gabungan alat muzik tradisional etnik China dan Malaysia seperti sape (oleh Anderson Kalang), yangqin, sitar (oleh Kumar Kathigesu), rebana (oleh Ramli Mohram), liuqin, gambus (oleh Dollah Gambus al Linggi), serta alat muzik moden termasuk piano, gitar elektrik, bes dan koir.

Lagu berdurasi empat minit dan 19 saat itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi kedutaan pada Selasa.

Dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris, lagu itu dimulakan dengan “Sayang, sayang my dear friend, rakan sejati, kasih setinggi gunung. Senyuman mesramu, dalam hati ku, bagai alir sungai tak ada hujung”.

Lagu itu menceritakan persahabatan erat yang dinikmati oleh Malaysia dan China serta aspirasi bahawa hubungan berkenaan akan terus maju bersama, memberi inspirasi kepada kedua-dua pihak untuk merealisasikan impian yang lebih besar.

 “Biarkan persahabatan ini bergulung seperti ombak, biarkan ia mengalir selama-lamanya, sahabatku, sungguh indah kau bersamaku. Sayang sayang my dear friend,” menurut sebahagian daripada lirik itu.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan dua hala rasmi pada 31 Mei 1974.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here