XI’AN, 23 Mei – Dialog Peringkat Tinggi Pelancongan China-Amerika Syarikat (AS) ke-14 yang bertemakan “Sektor Pelancongan Penggalak Pertukaran Sosiobudaya China-AS” dirasmikan di bandar Xi’an, wilayah Shaanxi pada Rabu.

Ia bertujuan menambah dialog dan memperkasa kerjasama supaya dapat berganding bahu merancakkan landskap pertukaran sosiobudaya antara kedua-dua negara.

Petugas dari pihak China menyatakan bahawa Beijing bersedia mempertingkat kerjasama dengan AS, mengalu-alukan syarikat negara itu memperluas pelaburan di China dalam bidang perhotelan, katering, kebudayaan dan hiburan, serta menyokong agensi pelancongan AS menambah pakej ke China supaya dapat berkongsi peluang pembangunan di negara ini.

Menurut petugas itu, AS diharap menyediakan layanan yang lebih adil, telus dan terbuka kepada agensi pelancongan China yang merancang memulakan atau memperincikan urus niaga di negaranya.

Beliau berkata China mengalu-alukan kedatangan pelancong asing, termasuk dari AS ke negara itu dan akan berusaha meningkatkan perkhidmatan dalam memudahkan warga asing yang bertugas atau melancong di China. 

Sementara itu, Penolong Setiausaha Perdagangan AS bagi Hal Ehwal Industri dan Analisis, Grant Harris dalam ucapannya yang disampaikan dalam aktiviti berkenaan menyatakan bahawa AS menyasarkan akan menerima kunjungan 91 juta pelancong asing pada tahun 2026.

Beliau berkata kejayaan menarik lebih ramai pelancong dari China merupakan antara faktor penentu bagi mencapai sasaran itu.

“Kalau jumlah pelancong China ke AS pulih ke paras yang tercatat pada tahun 2019, lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan akan tercipta di negaranya,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dialog peringkat tinggi kali ini merupakan satu langkah signifikan bagi memperluas kerjasama pelancongan kedua-dua negara.

Berlangsungnya Dialog Peringkat Pelancongan China-AS juga merupakan sebahagian pelaksanaan konsensus penting yang tercapai dalam pertemuan pemimpin kedua-dua negara di San Francisco tahun lepas.

Presiden kedua-dua negara, masing-masing mengutus surat tahniah kepada majlis perasmian Dialog ini, menggambarkan kedua-dua pihak peka akan pertukaran sosiobudaya termasuk pelancongan.

Hadir sama, hampir 400 orang daripada jabatan kerajaan, agensi di peringkat daerah dan sektor korporat kedua-dua negara.

Para peserta sebulat suara menyatakan mereka komited terus menggerakkan kerjasama pelancongan dan menggalakkan pertukaran kedua-dua negara dalam kalangan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here