PAPAR, 25 Mei – Kampung Kaiduan di sini dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI bagi  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemilihan kampung berkenaan bertepatan dengan syarat program Kampung Angkat MADANI kerana mempunyai infrastruktur di bawah 50 peratus berbanding diperlukan penduduk.

Beliau berkata melalui peruntukan RM2.5 juta yang disalurkan menerusi program itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan tahap infrastruktur dan ekonomi penduduk di kampung berkenaan.

“Kita akan mendengar syor dan pandangan penduduk, apa bentuk keperluan dari segi fizikal atau sosioekonomi yang boleh kita gunakan peruntukan itu atau bawa mana-mana kementerian Persekutuan dan negeri ke kampung ini untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI dan Pesta Kaamatan Kampung Kaiduan di sini hari ini.

Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan pada Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan program melibatkan kampung yang terpilih di seluruh negara.

Kampung Kaiduan terletak 35 kilometer selatan dari Kota Kinabalu.

Akses ke kampung itu agak sukar dengan Armizan bersama petugas media terpaksa melalui jambatan gantung dan satu lagi akses ialah dengan merentas sungai menggunakan pacuan empat roda yang hanya boleh dilalui jika air sungai cetek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here