IPOH, 25 Mei – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mengorak langkah proakatif dalam usaha memperkenalkan potensi dan daya tarikan agropelancongan, dengan melancarkan sebuah portal khusus bagi industri itu yang pertama seumpamanya di Malaysia, iaitu ecodoor.my.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata portal yang dibangunkan Perak SADC itu, telah menghimpunkan lebih 200 pengusaha agropelancongan untuk mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di negeri itu dan memudahkan pelawat portal untuk mendapatkan pakej-pakej yang menarik.

“Menerusi pelancaran portal ini, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan kesedaran pelancong dalam negeri mahupun luar negara, terhadap potensi agropelancongan di Perak dan pada masa yang sama, mencapai pertumbuhan yang signifikan dalam industri ini.

“Portal agropelancongan merupakan langkah penting dalam mempromosikan keindahan dan keunikan negeri Perak kepada dunia, sambil mengekalkan dan menyokong pembangunan lestari industri pertanian. Dengan ini, Perak memperluas daya tariknya sebagai destinasi agropelancongan yang menarik dan bermakna bagi semua jenis pelancong,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya Perak SADC telah menganjurkan peraduan menamakan portal tersebut yang  berlangsung selama tiga hari bermula 22 Mei, dengan menawarkan hadiah pakej agropelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC Datuk Yahanis Yahya berkata portal itu, menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosikan produk secara dalam talian mencapai lebih banyak pengunjung dan menjangkau pasaran yang lebih luas, khususnya pelancong dari luar negara.

Beliau berkata secara langsung, portal itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor agropelancongan serta memberikan manfaat limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan.

“Selain itu, kita menyasarkan sebanyak 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsungnya Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban, baru-baru ini.

“Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak, termasuk para pengusaha agropelancongan dalam usaha untuk mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak, selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.

Yahanis berkata Perak SADC komited membantu Tourism Perak dalam pembangunan agropelancongan, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri mengetengahkan industri agropelancongan sebagai salah satu produk pelancongan yang utama.

Beliau berkata perkata itu sekali gus memperkasa pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam flagship Sekuriti Makanan di bawah program Hab Agropelancongan.

Dalam perkembangan sama katanya bersempena pelancaran portal ecodoor.my serta minggu cuti  sekolah, diskaun 50 peratus diberikan kepada 50 orang terawal bagi aktiviti white water rafting,  geopark adventure dan horseback ride di Selama, Gopeng dan Ulu Piah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here