SIBU, 26 Mei – Perayaan Hari Gawai yang disambut bermula 1 Jun setiap tahun oleh masyarakat Dayak di Sarawak merupakan platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan agama bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan makmur.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perayaan tersebut bukan saja disambut oleh masyarakat Dayak malah turut diraikan bersama oleh semua masyarakat sama seperti perayaan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri.

“Hari Gawai bukan hanya terhad untuk masyarakat Dayak semata-mata tetapi seperti yang kita dapat saksikan malam ini dan dalam banyak kesempatan lain seperti ini, kita sentiasa bersama semua masyarakat tanpa mengira perbezaan sama ada agama atau bangsa.

“Begitu juga Tahun Baru Cina, ia tidak lagi hanya disambut masyarakat Cina tetapi masyarakat Dayak pun menanti ketibaan Tahun Baru Cina sama juga dengan Aidilfitri,” katanya pada majlis Malam Pra Gawai Dayak Sibu 2024 di sini malam tadi.

Majlis tersebut dianjurkan bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sibu dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Sibu.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng, bekas Ahli Dewan Negara Robert Lau Hui Yew, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew dan Naib Presiden Kanan Parti Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Nanta berkata walaupun apa saja anutan agama sememangnya semua masyarakat mempunyai mesej serta objektif yang sama ingin dicapai.

Beliau berkata begitu juga dalam arena politik, pemimpin-pemimpin politik daripada parti-parti politik berlainan dan fahaman berbeza serta kadang-kadang bersaing semasa pilihan raya tetapi apabila tiba perayaan Gawai Dayak mereka boleh duduk bersama.

“Kita mampu menjadi satu. Ini adalah keindahan Malaysia. Di tengah-tengah apa yang berlaku di seluruh dunia, kita boleh belajar daripada apa yang berlaku di tempat lain, jadi kita boleh hidup bersama sebagai rakyat Malaysia dengan lebih baik dan berjaya,” katanya sambil menyeru supaya masyarakat menghormati antara satu sama lain bagi membolehkan mereka mengecapi kemakmuran bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here