LABUAN, 26 Mei – Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Batu Arang, Tanjung Aru di sini yang bernilai RM112 juta hampir siap dan dijangka dapat dihuni pada akhir tahun ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pembinaan projek itu, yang mengetengahkan 500 unit kediaman di dua blok 13 tingkat, bermula pada Januari 2018.

Setiap unit, dengan keluasan 700.19 kaki persegi, mempunyai tiga bilik bagi memastikan ruang kediaman yang selesa untuk penduduk. 

Dr Zaliha berkata pembangunan di kawasan itu termasuk kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, tadika, rumah kedai dan taman permainan kanak-kanan.

Beliau turut menekankan komitmen pemaju dalam mematuhi piawaian dan garis masa tertentu sekali gus menggariskan kepentingan tarikh penyerahan projek itu. 

Selain itu, beliau mengarahkan Perbadanan Labuan Corporation (LC) untuk menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan PPR itu memenuhi matlamatnya kepada penduduk Labuan yang layak.

Dr Zaliha turut memberikan maklumat terkini berhubung projek sekolah menengah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bernilai RM65 juta di Kampung Sungai Bedaun. 

Dijangka siap menjelang 2027, beliau berkata sekolah itu dapat menampung 600 pelajar dan menyediakan kemudahan asrama.

“Apabila beroperasi, sekolah itu bukan sahaja terbuka kepada pelajar tempatan tetapi juga asnaf dari Labuan, Sabah dan Sarawak sekali gus memupuk peluang pendidikan untuk masyarakat secara lebih meluas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here