KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kerajaan hari ini memperkenalkan instrumen kewangan bukan pasaran iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) untuk membiayai aktiviti pemuliharaan hutan dan penjagaan alam sekitar yang lestari.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata FCC merupakan satu daripada mekanisme yang dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) sejak 2022 di bawah Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF).

Di bawah kerangka itu, beliau berkata instrumen Forest Carbon Offset (FCO) turut dibangunkan sebagai penyelesaian berasaskan pasaran untuk memenuhi projek karbon hutan, yang dijangka setanding dengan standard antarabangsa sedia ada seperti Verra dan Gold Standard.

“Tatkala projek karbon sangat bergantung kepada kawasan luas untuk menghasilkan pulangan karbon berdaya maju, FCC boleh digunakan pada kawasan bersaiz lebih kecil, dengan disesuaikan aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa lebih singkat.

“Tetapi kita mesti ingat bahawa FCC ini tidak akan menjana sebarang kredit karbon, mahupun boleh digunakan untuk menyokong aktiviti karbon untuk mengimbangi,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran instrumen FCC itu di sini, hari ini.

Majlis pelancaran yang diadakan sempena Forum Global Mengenai Kewangan dan Ekonomi Islam (GFIEF) anjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFF Datuk Jeffri Abd Rasid.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata FCC memberi penekanan kepada ketelusan melalui proses praktikal dan akauntabiliti semua pihak yang terlibat, bermula dengan pemilik skim, pelaksana projek, penyumbang dana, pengurus dana hingga ke badan pengesahan. 

Justeru, beliau berkata mana-mana projek FCC yang disahkan badan pengesahan bebas, boleh digunakan oleh penyumbang dana dalam memenuhi keperluan pelaporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat. 

Selain itu, menurut beliau bagi mengiktiraf sumbangan yang dibuat oleh syarikat kepada aktiviti FCC, Kementerian Kewangan meluluskan potongan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat tahun taksiran semasa.

Beliau juga memaklumkan Kementerian Kewangan meluluskan Dana Pembangunan Projek Karbon Hutan berjumlah RM5 juta kepada MFF tahun ini, bagi menyokong pembinaan kapasiti dan pengetahuan teknikal dan aktiviti prapembangunan projek karbon hutan seperti kajian kebolehlaksanaan, pengenalpastian kawasan projek yang berpotensi, penetapan garis dasar serta pelaksanaan projek perintis.

Pada majlis itu, Nik Nazmi turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman MFF dengan penyumbang dana FCC iaitu Layang Kaji Sdn Bhd dan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA).

ANGKASA diwakili Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah manakala Layang Kaji diwakili Pengarah Urusan Masteron Group of Companies Datuk Choy Wai Ceong, iaitu syarikat induknya.

Sementara itu, pada sidang media, Nik Nazmi memaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengkaji kebolehlaksanaan inisiatif Forest Wakaf di Malaysia sebagai langkah tambahan untuk memelihara dan memulihara kawasan tanah hutan.  

“Di Indonesia, Forest Wakaf ini sudah dibuat kerana mereka banyak tanah dan tanah itu disimpan dan diwakafkan melalui beberapa proses. Bermakna ia tidak boleh diceroboh dan pokok tidak boleh ditebang untuk kepentingan penduduk.

“Jadi sekarang kita (kerajaan) tengah mengkaji pendekatan itu antara lain bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Wakaf Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here